Wednesday, 24 April 2013

FOMCA Sign


MATLAMAT DASAR PENGGUNA NEGARA

MATLAMAT DASAR PENGGUNA NEGARA

1.Meningkatkan Kebajikan dan Kesejahteraan Pengguna

Matlamat utama DPN ialah untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pengguna supaya menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan hak pengguna untuk memilih dan bersuara. Meningkatkan keseimbangan kuasa berunding, maklumat yang sahih dan mencukupi, serta keseimbangan kualiti/pulangan antara pengguna dengan pembekal/pengilang.

2.Meningkatkan Kesejahteraan Sosio-Ekonomi

Mewujudkan dan menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi di kalangan anggota masyarakat melalui amalan perdagangan yang bertanggungjawab berasaskan kepada hak-hak dan kepentingan pengguna iaitu hak untuk mendapatkan keperluan asas, membuat pilihan, mendapat maklumat, gantirugi, keselamatan, menyuarakan pendapat, mendapat pendidikan pengguna dan hidup dalam alam sekitar yang menjamin kesihatan.

3.Meningkatkan Amalan Penggunaan Lestari

Meningkatkan amalan penggunaan lestari dalam mengurus sumber-sumber yang terhad untuk menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial. Penggunaan lestari menggalakkan berbelanja dengan berhemat, menggunakan sumber semulajadi dan kemudahan asas seperti air dan tenaga dengan berhemat, serta memelihara kesejahteraan dan kebajikan pengguna generasi semasa dan generasi akan datang.

OBJEKTIF FOMCA

OBJEKTIF 

1. Tahap Perlindungan Pengguna Yang Terbaik

Memastikan tahap perlindungan pengguna yang terbaik dari segi perlindungan kendiri, kawalselia kendiri dan aspek perundangan. Dari perspektif perundangan, setiap undang-undang yang melibatkan pengguna hendaklah menyediakan peruntukan yang melindungi pengguna, tindakan yang munasabah terhadap kecurangan pembekal/pengilang dan sistem penyelesaian perundingan yang murah, mudah dan cepat.

2.Amalan Perdagangan Yang Saksama dan Bertanggungjawab

Menggalakkan amalan perdagangan yang saksama dan bertanggungjawab dalam segala aspek yang melibatkan pengguna khususnya dalam aspek pengeluaran, promosi, penentuan harga dan pemasaran barangan serta perkhidmatan yang dihasilkan oleh pembekal/pengilang supaya dapat memenuhi keperluan asas pengguna dan keselamatan pengguna serta menggalakkan pendekatan untung bersama dalam amalan perdagangan. Menggalakkan kawalselia kendiri dalam amalan perdagangan yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

3.Pendidikan

Memastikan pendidikan pengguna yang berterusan diberi keutamaan oleh sektor awam dan swasta dan diintegrasikan dalam aktiviti pendidikan formal dan tidak formal. Memberi pendidikan pengguna di kalangan pembekal/pengilang mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat sebagai usaha untuk melahirkan masyarakat yang adil dan harmoni.

4.Penggunaan Lestari Dalam Era Globalisasi

Meningkatkan usaha ke arah amalan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan, untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.

5.Hubungan Antara Pengguna, Pembekal/Pengilang Pengilang dan Kerajaan

Mengharmonikan hubungan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan agar semua pihak mempunyai satu matlamat yang bersepadu iaitu mencapai perlindungan pengguna yang terbaik di bawah satu dasar iaitu DPN.